Tak Cukup ‘Maskulin’

dr kannapan

KITA sering didedahkan kisah perjuangan pasangan yang berusaha untuk mengatasi masalah ketidaksuburan mereka dengan pelbagai cara.

Namun, fokus cerita sering tertumpu pada masalah ketidaksuburan wanita dan bagaimana mencapai impian memiliki zuriat sendiri melalui rawatan kesuburan.

Pakar Perunding Kesuburan, Pakar Sakit Puan dan Obstetrik, Pusat Perubatan Sunway, Dr Kannappan Palaniappan​, berkata masalah ketidaksuburan dalam kalangan lelaki dianggarkan mencapai 50 peratus.

Malah peratusan masalah ketidaksuburan di antara lelaki dan wanita adalah hampir sama.

Namun, kesedaran masyarakat mengenai masalah ketidaksuburan lelaki masih sangat rendah.

“Data Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), mendapati 95 peratus lelaki yang melakukan hubungan seks normal tidak menyedari mereka mungkin mempunyai masalah ketidaksuburan.

“Akibatnya, sebilangan lelaki berhadapan dengan masalah ketidaksuburan. Ditambah pula dengan keengganan membincangkan mengenai emosi mereka.

“Kebanyakan lelaki menyembunyikan perasaan dan menjadi punca mereka gagal mendapatkan rawatan perubatan dan sukar dibantu,” katanya.

Kurang keterbukaan lelaki berbincang mengenai topik berkenaan dengan ahli keluarga dan rakan lelaki lain dan tidak bersedia bersedia berjumpa pakar juga punca isu itu sukar diatasi.

“Ada ada yang mengelak dan lelaki lebih sukar menghadiri sesi kauseling berbanding wanita,” katanya.

Dr Kannappan berkata, konflik peranan jantina ini boleh menyebabkan corak tingkah laku membabitkan ekspresi emosi terhad.

Konflik peranan jantina mengenai ketidaksuburan boleh menyebabkan perasaan ‘tidak cukup maskulin’ bagi mendapatkan zuriat.

Menurut Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), tahap kesuburan lelaki di bawah usia 30 tahun juga menurun 15 peratus dan statistik pada 2010 hingga 2019, menunjukkan 60 peratus ujian analisis sperma dilaporkan tidak normal.

Dr Kannappan menjelaskan, kepekatan sperma di bawah 15 juta/ml dianggap sebagai jumlah sperma yang rendah, manakala pergerakan sperma di bawah 32 peratus bermaksud sperma bergerak lambat.

“Bukan itu sahaja, morfologi sperma di bawah empat peritus menunjukkan terdapat lebih banyak sperma tidak normal daripada sperma normal,” katanya.

Beliau melihat peningkatan hasil ujian tidak normal dalam analisa ujian air mani secara keseluruhan dalam lima tahun lalu, di Pusat Perubatan Sunway, yang membawa peratusan sekitar 53 hingga 60 peratus dalam kalangan pasangan yang tidak subur.

Ini bermaksud hanya sekitar 40 hingga 45 peratus lelaki sahaja mempunyai hasil ujian air mani normal seperti ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia menunjukkan masalah ketidaksuburan pasangan suami isteri meningkat daripada 6.9 peratus pada 2004 kepada 8.6 peratus pada 2014. Peratusan ini dijangka mencapai 10 hingga 12 peratus, iaitu hampir dengan kadar global iaitu 10 hingga 15 peratus.

Bagaimanakah masalah ini boleh memberi kesan terhadap Malaysia? Dr Kannappan berkata, masyarakat kurang subur memberi kesan jangka panjang terutama kepada tenaga kerja, harus ditangani secara efektif.

Justeru, program kesedaran mengenai masalah ketidaksuburan lelaki dengan menyediakan lebih banyak akses kepada maklumat mengenainya, tingkatkan pengesanan kes ketidaksuburan, selain tambah jumlah kaunselor dan patuh etika perubatan.

Ubah gaya hidup dengan bersenam secara konsisten, menurunkan berat badan berlebihan, berhenti merokok dan kurangkan tekanan juga dapat membantu atasi isu ini.

“Masalah ketidaksuburan lelaki mungkin tidak dapat dirawat sepenuhnya, namun kita boleh melihat peningkatan kadar penyembuhan jika mereka melakukan modifikasi gaya hidup dan mengambil ubat-ubatan bersesuaian.

“Selain itu, rawatan pesenyawaan in-vitro (IVF) atau Suntikan Seperma Tunggal ke dalam Telur (ICSI) mungkin diperlukan bagi pasangan terutama jika tiada sperma langsung sebagai alternatif lagi bagi mereka yang inginkan zuriat,” katanya.

Sunway Fertility Centre